Iftar Ramadan Eratkan Ukhuwah Komuniti Tanjung Bundong
KOTA SAMARAHAN: Semangat gotong-royong dan kebersamaan masyarakat jelas terserlah menerusi penganjuran Program Bubur Lambuk dan Iftar Ramadan 2026 yang berlangsung di Dataran Surau Baiturrahman, Lot Fasa 2 Kampung Tanjung Bundong, di sini pada Sabtu.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato' Idris Buang turut meluangkan masa menghadiri program tersebut serta bersama masyarakat setempat berbuka puasa.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penganjuran program seumpama itu sebagai platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai agensi kerajaan, NGO serta komuniti setempat membuktikan bahawa semangat kerjasama dan permuafakatan terus subur dalam kalangan masyarakat di kawasan tersebut.
“Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan tradisi gotong-royong dalam menyediakan bubur lambuk, malah menjadi medan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pemimpin, agensi dan masyarakat.
“Ia juga memberi ruang kepada komuniti untuk saling mengenali, memupuk sikap hormat-menghormati serta menyemai nilai kebersamaan dalam usaha membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut berharap agar kerjasama serta usaha murni seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh lagi perpaduan komuniti.
Antara pengisian program termasuk aktiviti memasak bubur lambuk secara bergotong-royong, pertandingan mewarna kanak-kanak, ceramah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Samarahan, ceramah agama sempena Nuzul al-Quran serta program Ihya’ Ramadan.
Selain itu, turut diadakan agihan bakul makanan kepada golongan asnaf, pengagihan bubur lambuk kepada penduduk setempat, majlis berbuka puasa beramai-ramai serta solat Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan solat Terawih dan moreh.-EDISI UKAS