Projek Pembangunan Sekitar Kampung Segedup Terus Diperkasa Demi Kesejahteraan Penduduk
KUCHING: Pelbagai projek pembangunan di kawasan sekitar, termasuk di Kampung Segedup, sedang dan akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan serta kemudahan kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, usaha tersebut merangkumi penambahbaikan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan utiliti serta kemudahan lampu jalan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terus terjamin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Ramadan dan Ihsan Ramadan 2026M/1447H DUN N8 Satok yang berlangsung di Masjid Al-Aqsa, Kampung Segedup, di sini.
Menurut beliau, pelaksanaan projek pembangunan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan yang seimbang serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Mengulas mengenai program, beliau menjelaskan ianya merupakan inisiatif tahunan bagi menyantuni masyarakat setempat selain mengimarahkan institusi masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.
Sebagai sebahagian daripada program Ihsan Ramadan, sumbangan turut disampaikan kepada golongan asnaf serta pihak masjid bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadan.
Selain itu, sumbangan berbentuk peralatan seperti rehal al-Quran turut diberikan sebagai galakan kepada masyarakat untuk memperbanyakkan amalan membaca al-Quran sepanjang bulan yang mulia ini.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abdul Samat Gany, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Aqsa Kampung Segedup Samsudin Saperi, Pengerusi Biro Agama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok Sharbini Abang dan Penghulu Kampung Segedup Sulaiman Awi. -EDISI UKAS