Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Diadakan 10 Mac Ini
KUCHING: Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 akan diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 10 Mac ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, sambutan tersebut tetap diteruskan walaupun berlangsung dalam bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang dirancang bagi meraikan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara.
Menurut beliau, penganjuran tahun ini turut melibatkan kerjasama rakan strategik daripada pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak korporat.
“Antara pengisian utama program termasuk pengiktirafan kepada ikon wanita, penghargaan kepada NGO yang aktif memperjuangkan kebajikan wanita serta syarikat yang memberi keutamaan kepada pemerkasaan golongan tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program ‘Shopping Raya PEKEMA Sarawak Bersama Anak-Anak Asnaf’ di sebuah pusat membeli-belah, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau lagi, terdapat beberapa inisiatif baharu yang dirangka bagi membantu wanita, khususnya dalam memperluas peluang mendapatkan ilmu pengetahuan serta akses kepada pelbagai bentuk bantuan.
Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman lanjut berhubung perkara tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri semasa majlis pelancaran nanti.
“Memang ada sesuatu yang telah kami sediakan untuk membantu wanita dan memudahkan mereka mendapatkan ilmu serta peluang, namun pengumuman lanjut terpulang kepada Perdana Menteri,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS