516 Penerima Bantuan Kebajikan di Bahagian Bintulu Terima Sumbangan Aidilfitri
TATAU: Seramai 516 penerima bantuan kebajikan yang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Bahagian Bintulu menerima sumbangan khas menerusi Program Sejambak Kasih sempena musim perayaan tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sumbangan tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebahagian penerima dijemput menghadiri majlis yang diadakan di Tatau manakala selebihnya menerima bantuan yang dimasukkan terus ke dalam akaun masing-masing.
“Bagi tahun 2026, seramai 516 orang yang menyambut Hari Raya Aidilfitri daripada 3,423 orang penerima iaitu jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan kebajikan di Bahagian Bintulu.
“Daripada jumlah itu, sebahagian penerima dijemput menghadiri majlis di Tatau manakala selebihnya menerima bantuan yang dimasukkan terus ke dalam akaun masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin di Kariah Tatau sempena Bulan Ramadan Al-Mubarak 1447 Hijrah yang berlangsung di Masjid Daerah Tatau pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fatimah menjelaskan bahawa kelayakan memohon bantuan kebajikan JKM adalah berdasarkan pendapatan isi rumah.
Menurutnya, pendapatan isi rumah sebanyak RM1,198 atau kurang menjadi antara syarat utama bagi melayakkan seseorang dipertimbangkan untuk menerima bantuan di bawah pelbagai skim seperti Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas, Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) serta Bantuan Pesakit Terlantar.
Tambah beliau, bagi permohonan Bantuan Warga Emas, pihak jabatan turut menilai tahap sokongan yang diberikan oleh anak kepada ibu bapa walaupun tidak tinggal serumah.
Sekiranya permohonan tidak berjaya pada peringkat awal, pemohon digalakkan membuat rayuan supaya permohonan dapat dinilai semula atau dipertimbangkan di bawah skim lain seperti Bantuan Am.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai bersama isteri Datin Melia Gelen, ADUN Jepak, Iskandar Turkee, Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Tatau (LAKIT), Dato Dr Adi Badiozaman Tuah, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang @ Endawie, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Asean Bintulu Fertilizer Sdn Bhd, Lawai Jok, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Baharu Daerah Tatau, Mohammad Rizal Julaihi serta Pegawai Pembangunan Masyarakat yang mewakili Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Jemat Kanchin.–EDISI UKAS