Perkhidmatan Awam Sarawak Di Landasan Tepat Pacu Pencapaian PCDS 2030
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) berada di landasan tepat untuk memacu pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 secara berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, SCS sentiasa bersedia dari segi kapasiti dan keupayaan dalam menyokong segala inisiatif yang digerakkan oleh Premier Sarawak.
Menurut beliau, pelbagai usaha berterusan dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan penjawat awam agar seiring dengan perubahan landskap penyampaian perkhidmatan awam.
“Kita memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan hasil. Ini bermaksud setiap perancangan, pelaksanaan dan projek yang dilaksanakan mesti benar-benar dapat dirasai rakyat.
“Rakyat mesti menikmati manfaat daripada setiap projek dan inisiatif yang dilaksanakan kerana bagi kita, rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada Isnin.
Hadir sama, Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran.
Mengulas lanjut, beliau berkata SCS turut memberi penekanan terhadap pembudayaan norma kerja baharu dan penggunaan teknologi digital dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap dan efektif.
Katanya, pendekatan 3R iaitu revisit, rethink dan recharge perlu diterapkan secara berterusan agar penjawat awam sentiasa menilai prestasi, memperbaiki kelemahan serta mengekalkan budaya inovasi dalam organisasi.
“Dengan perubahan ekspektasi rakyat, kita sebagai penjawat awam juga perlu berubah dalam cara penyampaian perkhidmatan.
“Jika terdapat pendekatan baharu yang lebih berkesan, maka kita perlu melaksanakannya demi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa relevan dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata impak agenda pembangunan negeri kini semakin jelas dirasai rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai projek mega dan pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak.
Jelas beliau, projek seperti skim pembesaran kampung, pembinaan jambatan dan jalan raya, serta projek bekalan air dan elektrik telah memberi manfaat langsung kepada rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.
Walaupun masih terdapat beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan, beliau memberi jaminan bahawa SCS akan terus komited memastikan setiap projek pembangunan dapat dinikmati rakyat sebaiknya. -EDISI UKAS