Mu’azamir Jili Adakan Sesi Perjumpaan Pertama Bersama Warga Kerja MSNS, Fokus Persiapan SUKMA 2026
KUCHING: Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili mengadakan sesi perjumpaan dan suai kenal bersama pegawai serta warga kerja MSNS pada Selasa.
Perjumpaan ini merupakan hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi setelah dilantik yang berkuat kuasa kelmarin setelah berkhidmat lebih sedekad di peringkat nasional sebelum kembali ke Bumi Kenyalang.
Sesi tersebut melibatkan pegawai yang menguasai bahagian Limbang, Miri, Bintulu, Sibu, Kapit, Sarikei dan Kuching, selain menjadi platform untuk memperkenalkan hala tuju kepimpinan baharu dalam memperkukuh pembangunan sukan negeri.
Pada masa sama, Mu’azamir turut mempengerusikan mesyuarat pertama bersama warga kerja MSNS bagi membincangkan perancangan dan keutamaan organisasi, khususnya dalam menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor pada 15 hingga 24 Ogos nanti.
Ini terutamanya dalam usaha beliau untuk mempertingkatkan lagi peluang Sarawak dalam mempertahankan kejuaraan SUKMA di Negeri Darul Ehsan itu. -EDISI UKAS