TYT Sarawak Hadiri Majlis Doa Akhir & Awal Tahun Hijrah di Miri
MIRI: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Awal Tahun 1448 Hijrah Peringkat Sarawak yang berlangsung di Masjid At-Taqwa, di sini pada Selasa.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Mual Suaud, timbalan-timbalan menteri serta ketua jabatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1447H sebelum azan Maghrib dan diteruskan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah.
Program kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Awal Tahun 1448H, Surah Yaasin serta Tazkirah Maal Hijrah yang disampaikan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Solat Fardu Isyak berjemaah turut diadakan sebelum majlis diakhiri dengan jamuan makan malam yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin serta beberapa anggota Kabinet Sarawak.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut dijadual menghadiri Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Stadium Tertutup Miri pada Rabu.
Majlis berkenaan merupakan antara pengisian utama sambutan Maal Hijrah peringkat negeri bagi memupuk penghayatan nilai keagamaan dan memperkukuh ukhuwah masyarakat sempena kedatangan tahun baharu Hijrah 1448H.-EDISI UKAS