MTCP Sarawak Perkukuh Kerjasama Dengan MOTAC Majukan Pembangunan Sektor Pelancongan
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak hari ini mengadakan kunjungan rasmi ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan sektor pelancongan.
Delegasi MTCP diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel bersama Setiausaha Tetap MTCP, Morshidi Fredrick.
Kunjungan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak memperkukuh sinergi, meningkatkan penyelarasan serta membincangkan agenda pelancongan Sarawak selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah, kerjasama berterusan dan koordinasi rapat antara semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi manfaat nyata kepada komuniti, pemain industri dan negara secara keseluruhan.
Dalam pada itu, MTCP turut menekankan kepentingan mengiktiraf keunikan serta kekuatan Sarawak dalam membangunkan ekosistem pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
Perbincangan turut menyentuh landskap pelancongan unik Sarawak yang merangkumi warisan budaya, biodiversiti, tradisi masyarakat pribumi, industri kreatif serta tarikan semula jadi yang menjadi kekuatan utama negeri ini.
Lawatan tersebut sekali gus memperkukuh komitmen MTCP dan MOTAC dalam memastikan sektor pelancongan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan budaya dan pembangunan mampan bagi Sarawak serta Malaysia.-EDISI UKAS