Pampasan Tanah RM1.77 Juta Buka Laluan Projek Kolam Renang Meradong RM22.4 Juta
MERADONG: Penyerahan pampasan tanah berjumlah RM1,774,808.50 kepada empat pemilik tanah menandakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan projek pembinaan dan penyiapan Kolam Renang Meradong bernilai RM22.4 juta yang sekian lama dinantikan penduduk daerah ini.
Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi projek berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Meradong pada Selasa dan disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurut Datuk Ding, beliau amat gembira apabila tapak pembinaan Kolam Renang Meradong akhirnya berjaya ditetapkan selepas melalui pelbagai proses perancangan dan kelulusan.
Katanya, projek tersebut telah beberapa kali dikemukakan sebelum berjaya memperoleh kelulusan menerusi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dengan kos keseluruhan sebanyak RM22.4 juta.
“Proses cabutan undi bagi projek ini dijangka diadakan pada Julai depan dan saya berharap pelaksanaan fasa pertama projek dapat berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pemilik tanah yang terlibat atas kerjasama dan pengorbanan mereka dalam menjayakan projek pembangunan tersebut.
Menurut beliau, kesediaan mereka melepaskan tanah demi kepentingan pembangunan daerah merupakan sumbangan besar yang amat dihargai dan akan sentiasa dikenang oleh masyarakat Meradong.
Datuk Ding berkata, pembinaan kolam renang itu bukan sahaja akan menyediakan kemudahan rekreasi moden kepada penduduk setempat, malah berpotensi menjadi platform melahirkan lebih ramai atlet renang berbakat dari Meradong pada masa hadapan.
Tambahnya, kemudahan tersebut juga berupaya menjadi lokasi penganjuran kejohanan sukan bertaraf negeri dan kebangsaan termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan sukan dan rekreasi masyarakat setempat, malah menjadi simbol kemajuan dan kebanggaan warga Meradong,” ujarnya.
Pembayaran pampasan tanah yang disempurnakan pada majlis itu dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting dalam memastikan projek berimpak tinggi tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat jangka panjang penduduk daerah berkenaan.-EDISI UKAS