Pemimpin Komuniti Penting Dalam Menyampaikan Maklumat Kerajaan
MIRI: Pemimpin komuniti khususnya ketua kaum memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan maklumat serta dasar kerajaan dapat disampaikan dengan tepat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata ketua kaum yang dilantik oleh kerajaan memainkan tanggungjawab besar dalam menyampaikan pandangan, isu dan cabaran masyarakat kepada pihak kerajaan di samping membantu menjelaskan dasar serta polisi kerajaan kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, penyampaian maklumat yang tepat amat penting bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Ketua kaum berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Mereka perlu menyampaikan isu, cabaran dan pandangan masyarakat kepada kerajaan, di samping memastikan dasar serta polisi kerajaan disampaikan dengan jelas kepada penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Jamuan Tengah Hari Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Miri yang berlangsung di Grand Palace Hotel pada Sabtu.
Dalam ucapannya, beliau turut menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina di Sarawak sebagai unik kerana sering diraikan dalam tempoh yang lebih panjang berbanding di tempat lain, malah ada yang berterusan sehingga lebih sebulan.
Menurutnya, keadaan tersebut mencerminkan keharmonian masyarakat di negeri ini yang hidup dalam suasana aman serta saling menghormati antara pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Sebagai rakyat Sarawak, kita amat bertuah kerana hidup dalam masyarakat yang bebas dan harmoni, di mana semua kaum dan agama dapat mengamalkan budaya masing-masing serta hidup bersama dengan semangat perpaduan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata tempoh lima tahun akan datang dijangka menjadi fasa penting bagi pembangunan bandar raya Miri susulan pelaksanaan beberapa projek pembangunan berskala besar yang berpotensi merancakkan ekonomi tempatan.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan pelabuhan laut dalam Kuala Baram Miri yang kini dalam fasa pertama melibatkan kerja mendalamkan laluan pelayaran sehingga lima meter dan memanjangkannya sejauh enam kilometer ke laut.
Fasa kedua projek tersebut pula akan melanjutkan kerja tersebut sehingga 10 kilometer serta membina pelabuhan laut dalam yang dijangka memberi manfaat besar kepada kawasan industri di Kuala Baram selain rancangan kerajaan untuk mewujudkan zon ekonomi bebas di kawasan tersebut.
Selain projek kerajaan, beliau turut menekankan kepentingan peranan sektor swasta dalam memacu pembangunan Miri termasuk projek pembangunan Kenyalang Smart City yang berpotensi menarik pelaburan serta institusi pendidikan antarabangsa.
Tambah beliau, kerjasama dengan universiti dari China dijangka membawa penubuhan pusat penyelidikan perubatan serta kemungkinan pembukaan kampus perubatan pada masa hadapan.
Beliau juga menyentuh mengenai dasar pendidikan tinggi percuma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak yang mendapat sambutan positif daripada pelajar tempatan.
Sehubungan itu, beliau berharap para ketua kaum akan terus meningkatkan pemahaman mengenai dasar kerajaan serta projek pembangunan supaya maklumat tersebut dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.
Turut hadir ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii, Residen Bahagian Miri Galong Luang dan Pengerusi Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Miri Temenggong Yong Vui Seng.-EDISI UKAS