Integriti dan Akauntabiliti Teras Tadbir Urus Perkhidmatan Awam
LIMBANG: Budaya integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam perlu terus dijunjung tinggi bagi memastikan setiap dasar serta perancangan kerajaan dilaksanakan secara telus, berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerjasama erat antara wakil rakyat dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di daerah ini amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan di peringkat tempatan.
Menurut beliau, aspek integriti bukan lagi satu pilihan sebaliknya merupakan kewajipan mutlak dalam pentadbiran memandangkan rakyat kini semakin peka dan menilai setiap tindakan pemimpin serta penjawat awam.
“Kita tidak boleh bercakap tentang pembangunan sekiranya masih wujud kelemahan dari segi tadbir urus. Kita juga tidak boleh berbicara tentang kesejahteraan rakyat sekiranya masih ada ketirisan, kelewatan dan sikap sambil lewa dalam melaksanakan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Perjumpaan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Limbang Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Daerah Limbang pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang salah guna kuasa dan rasuah selain mengingatkan setiap peruntukan kerajaan perlu diurus secara berhemah mengikut peraturan kewangan yang ditetapkan.
Tambah beliau, sebagai wakil rakyat Parlimen Limbang, beliau sentiasa bersedia membantu menyelaras perkara melibatkan agensi kerajaan demi memastikan keperluan rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.
“Walaupun agensi berkenaan bukan di bawah kementerian saya, sekiranya terdapat perkara yang perlu dipanjangkan atau dipercepatkan, ia boleh disalurkan melalui saya kerana banyak perkara sebenarnya dapat diselesaikan melalui kerjasama yang baik,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan program tersebut sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara Ahli Parlimen dan jabatan-jabatan Persekutuan di daerah ini selain membincangkan isu semasa serta cabaran pelaksanaan dasar di peringkat daerah.
Sehubungan itu katanya, penyelarasan berterusan antara semua pihak amat penting bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan program pembangunan di Parlimen Limbang berjalan lancar serta selari dengan keutamaan pembangunan kawasan.
Tambahnya lagi, setiap projek dan program yang diluluskan juga perlu dipantau sehingga siap bagi memastikan wang rakyat digunakan secara telus dan memberi impak sebenar kepada masyarakat.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Enggal, Ketua Polis Daerah Limbang Parum Niot, Pengarah Cawangan Jabatan Akauntan Negara Malaysia Cawangan Limbang Dewi Arabi, Pengarah Penjara Limbang Usman Mala, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Norliza Jusoh serta Pegawai Penerangan Daerah Limbang Sumardi Sugiman.-EDISI UKAS