Tanah Runtuh di Kampung Bukit Kota, Laluan Utama Terputus
LIMBANG: Hujan lebat berterusan yang melanda daerah ini sejak malam semalam mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Kota sekitar jam 2 petang tadi sehingga menjejaskan tiga buah rumah berhampiran serta memutuskan laluan utama di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada keadaan lereng bukit yang curam serta tanah yang menjadi lembut akibat hujan berintensiti tinggi sejak beberapa hari lalu.
Menurut beliau, beliau bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah turun padang bagi meninjau keadaan semasa di lokasi kejadian serta menilai tahap keselamatan kawasan terlibat.
“Kita berharap cuaca akan bertambah baik dalam masa terdekat kerana hujan berintensiti tinggi boleh menyebabkan tanah menjadi terlalu lembut, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan susulan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian pada Sabtu.
Tambah beliau, insiden tersebut turut menyebabkan gangguan bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan termasuk sekitar Bukit Kota sehingga ke Lapangan Terbang Limbang.
Bagaimanapun jelasnya, pihak LAKU dan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan bagi memastikan bekalan utiliti dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat.
“Kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan dan kita menjangkakan bekalan air serta elektrik dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 24 jam,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan runtuhan memandangkan keadaan tanah yang masih tidak stabil dan berisiko mengundang runtuhan susulan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) kini sedang meneliti langkah penyelesaian terbaik bagi memulihkan semula laluan utama yang terjejas demi memastikan kelancaran pergerakan penduduk setempat.
Sebagai langkah sementara, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan 7 Batu Keliling atau Jalan Bypass Kampung Tababang sehingga laluan utama tersebut disahkan selamat untuk digunakan semula.
Pada masa sama, Datuk Hasbi turut menyarankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar menyalurkan bantuan segera kepada pemilik rumah yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berisiko turut digesa supaya sentiasa berwaspada serta peka terhadap perubahan keadaan tanah dan cuaca bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Abdul Rahman Ismail, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise, Pegawai Daerah Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Ketua Polis Daerah Limbang, Parum Niot, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 7 Limbang, Ramlan Marajan serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang.-EDISI UKAS