1,000 Pek Bubur Asyura Edar Kepada Komuniti Di Simunjan
SIMUNJAN: Semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat terus terserlah menerusi penganjuran Program Memasak dan Pengagihan Bubur Asyura yang berlangsung di perkarangan Masjid Darul Hijrah, Simunjan pada Sabtu.
Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Hijrah dengan kerjasama Persatuan Urusetia Saudara Baru Kita (PUSBK) Cawangan Simunjan itu menghimpunkan ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan serta penduduk setempat yang bergotong-royong menyediakan bubur untuk diagihkan kepada masyarakat.
Sebanyak 1,000 pek bubur asyura berjaya disediakan sebelum diagihkan kepada penduduk dari 14 buah kampung di kawasan Simunjan Proper selain lima buah masjid di Zon 3 Sungai Apin serta komuniti saudara baharu di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang hadir memeriahkan program tersebut menyifatkan penganjuran aktiviti berkenaan sebagai satu inisiatif yang amat baik dalam menghidupkan suasana Ramadan di samping memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata aktiviti gotong-royong seperti itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan, malah memupuk nilai kerjasama dan sikap saling membantu antara satu sama lain dalam komuniti.
Menurut beliau, program berkenaan juga selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan umat Islam untuk berkongsi rezeki serta mempererat ukhuwah sesama masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid, PUSBK serta semua sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, selain menyifatkan penglibatan masyarakat dari pelbagai kampung sebagai bukti semangat perpaduan yang kukuh dalam komuniti di Simunjan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa penglibatan komuniti saudara baharu dalam program tersebut memberi ruang kepada mereka untuk lebih mendekati masyarakat setempat serta merasai kemeriahan amalan dan tradisi masyarakat Islam sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut turut memperlihatkan peranan penting institusi masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Turut hadir Pengerusi Masjid Darul Hijrah Azman Mut, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi serta ketua-ketua kampung.-EDISI UKAS