Inisiatif JKKK Kampung Hijrah Fasa II Santuni Golongan Memerlukan Dipuji
SIMUNJAN: Inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hijrah Fasa II yang menganjurkan program pengagihan bubur lambuk, bubur pedas serta bakul makanan kepada golongan sasar menerima pujian atas usaha menyantuni masyarakat sempena bulan Ramadan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata program kebajikan tersebut merupakan satu langkah yang amat baik dalam memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung.
Menurut beliau, penglibatan aktif kepimpinan masyarakat bersama penduduk setempat dalam menjayakan program berkenaan menunjukkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam membantu golongan memerlukan.
“Saya amat memuji keaktifan serta penglibatan pemimpin masyarakat, ketua kampung dan barisan AJK bersama penduduk kampung atas usaha murni ini.
“Program seperti ini menjadi wadah terbaik untuk mengumpulkan masyarakat melalui semangat gotong-royong,” katanya ketika berucap pada program berkenaan yang diadakan di Masjid Darul Hijrah, di sini pada Ahad.
Dalam program tersebut, seramai 40 orang penerima yang terdiri daripada warga emas dan pesakit terlantar telah menerima bakul makanan sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Rodiyah menegaskan bahawa walaupun program tersebut kelihatan sederhana, namun impaknya amat besar dalam membantu meringankan beban golongan sasar khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan agar program seumpama itu dijadikan contoh oleh kampung-kampung lain serta diteruskan pada masa hadapan.
“Program seperti ini boleh dicontohi oleh kampung-kampung lain. Ia tidak semestinya dilaksanakan pada bulan Ramadan sahaja, malah boleh diadakan semasa Aidilfitri atau pada hari-hari lain,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan dan penduduk kampung yang bertungkus-lumus menyediakan bubur lambuk dan bubur pedas sejak awal pagi bagi memastikan kelancaran program agihan tersebut.
Program berkenaan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bersama isterinya Puan Napsiah Abang Kaderi, Ketua Kaum Kampung Hijrah Fasa II Dara @ Khartina Amat, Timbalan LAKIS Daerah Simunjan Len Sol serta Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan Bojeng Ali.
Program yang disertai kira-kira 100 penduduk setempat itu turut memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS