Pelancaran Buku “Uncharted Waters” Angkat Legasi Misionari C. Hudson Southwell
MIRI: Pelancaran buku Uncharted Waters (2025 Edition): The Memoirs of C. Hudson Southwell menjadi simbol penghargaan terhadap legasi seorang tokoh misionari yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Borneo Evangelical Mission (BEM) di Sarawak.
Majlis anjuran Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Pelita itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala di BEM Pelita Miri pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha Agung BEM Sarawak yang mewakili Presiden BEM Sarawak, Elder Stanley Sigar Arun, penyunting dan penerbit buku tersebut Rod J. Blair, Pengerusi BEM Daerah Miri Pastor Luther Sakai, para pastor dan elder gereja serta pemimpin masyarakat.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Gerawat berkata pelancaran buku tersebut bukan sekadar memperkenalkan sebuah karya sejarah, tetapi juga satu penghormatan kepada kehidupan dan pengorbanan seorang misionari yang menyerahkan sepenuhnya hidupnya kepada panggilan Tuhan.
Beliau berkata tokoh misionari C. Hudson Southwell meninggalkan tanah airnya di Australia untuk memulakan pelayaran di kawasan pedalaman Borneo pada akhir 1920-an, khususnya dalam kalangan komuniti Orang Ulu di Baram.
Menurutnya, perjalanan Southwell penuh dengan cabaran dan penderitaan termasuk berkhidmat di kawasan hutan pedalaman serta melalui pengalaman getir ketika pendudukan Jepun di Sarawak apabila beliau ditahan di Kem Batu Lintang di Kuching.
“Walaupun melalui pelbagai kesukaran, kepercayaan beliau kepada Tuhan tetap teguh dan usahanya telah memberi kesan mendalam kepada masyarakat tempatan serta perkembangan gereja di Sarawak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perkembangan BEM kini amat pesat dengan 713 gereja berdaftar dan lebih 110,000 ahli di Sarawak selain berkembang ke Sabah serta Semenanjung Malaysia.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak mengiktiraf peranan penting gereja dalam pembinaan masyarakat yang aman, progresif dan harmoni.
Katanya, melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan kewangan bagi membantu institusi keagamaan selain Islam.
“Sejak penubuhan UNIFOR pada 2017 hingga kini, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan kira-kira RM565 juta bagi menyokong pembangunan rumah ibadat dan institusi keagamaan.
“Daripada jumlah tersebut, RM70.9 juta diperuntukkan kepada gereja-gereja BEM bagi melaksanakan 639 projek pembangunan,” jelasnya.
Pelancaran buku ini juga disifatkan tepat pada masanya menjelang sambutan ulang tahun ke-100 BEM Sarawak yang dijadualkan pada November 2028.-EDISI UKAS