Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat Bermula, Jelajah 1,750km Dekati Komuniti
SEMATAN: Program Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat bermula secara rasmi di Kilometer 0 Telok Melano pada Isnin, menandakan permulaan jelajah komunikasi strategik merentasi kawasan pesisir dan beberapa lokasi pembangunan utama di Sarawak sejauh kira-kira 1,750 kilometer.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, program tersebut berperanan sebagai platform komunikasi dua hala yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, program tersebut bukan sekadar menyampaikan maklumat berkaitan usaha dan dasar kerajaan, malah turut menjadi ruang untuk mengenal pasti isu serta keperluan masyarakat setempat.
“Harapan saya bukan hanya menyebarkan usaha kerajaan, tetapi kalau boleh program ini diharap dapat menjadi penghubung dua hala mengenalpasti isu yang ada.
“Contohnya di Telok Melano harapan masyarakat di sini ialah lebih banyak tempat menarik pelancongan dan mungkin Pekan Sematan dapat dimodenkan lagi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perlepasan Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat di Kilometer 0 Telok Melano, di sini pada Isnin.
Tambah beliau, antara isu yang turut diketengahkan sepanjang jelajah tersebut termasuk berkaitan liputan telekomunikasi, selain meninjau perkembangan pembangunan di kawasan pesisir.
Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat yang berlangsung dari 9 hingga 21 Mac merupakan inisiatif komunikasi strategik bagi memperkukuh penyampaian dasar serta inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak kepada rakyat di seluruh negeri.
Program jelajah komunikasi tersebut bermula di Telok Melano, Tanjung Datu dan akan berakhir di Lawas, melibatkan perjalanan merentasi beberapa kawasan pesisir serta lokasi pembangunan utama di Sarawak.
Inisiatif berkenaan bertujuan mempertingkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar dan agenda pembangunan kerajaan negeri di samping memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar.
Kembara UKAS 2026 turut memberi tumpuan kepada maklum balas rakyat terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak.
Hadir sama pada majlis perlepasan tersebut ialah Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Ketua Polis Daerah Lundu DSP Mordani Tanin, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Abang Draup, Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Lundu, Monalissa Mariah Brain, Pegawai Tadbir Sarawak, Pejabat Daerah Kecil Sematan, Mohd. Ameerullah Roslan, Pegawai-pegawai kanan UKAS, Ketua-ketua masyarakat serta tetamu jemputan yang lain.-EDISI UKAS