Pertubuhan Membina Akhlak Teck Chiao Che Lee Khor Miri Santuni 100 Penerima, Sumbangan Amal Aidilfitri
MIRI: Pertubuhan Membina Akhlak Teck Chiao Che Lee Khor Miri atau Che Lee Khor Moral Uplifting meneruskan usahanya kebajikannya dengan menyumbang bakul makanan kepada 100 golongan sasar di sini.
Majlis Penyampaian Sumbangan Amal sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 itu diadakan di perkarangan pejabat pertubuhan tersebut di sini, pada Ahad.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni menyempurnakan majlis yang turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana konsisten menjalankan aktiviti kebajikan bagi membantu golongan memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut beliau, usaha yang dilakukan oleh Che Lee Khor Moral Uplifting Society selama lebih 14 tahun itu mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat di Sarawak yang sentiasa saling membantu, khususnya ketika musim perayaan.
Beliau berkata, bantuan yang disalurkan walaupun tidak besar nilainya tetap membawa makna yang besar kepada penerima serta mampu meringankan beban keluarga yang memerlukan.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya berbelanja secara berhemah menjelang sambutan Aidilfitri selaras dengan saranan kerajaan agar rakyat tidak berbelanja secara berlebihan memandangkan ketidaktentuan ekonomi global yang boleh memberi kesan kepada harga barangan.
Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai dasar penting Kerajaan Sarawak yang bakal memberi manfaat kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, Premier Sarawak telah mengumumkan inisiatif pendidikan tinggi percuma bermula tahun 2026 bagi rakyat Sarawak yang layak, tertakluk kepada beberapa syarat termasuk memiliki status anak Sarawak serta memperoleh keputusan akademik yang cemerlang.
Tambah beliau lagi, kerajaan turut menyediakan bantuan tambahan sebanyak RM1,250 kepada keluarga dalam kategori B40 bagi membantu menampung perbelanjaan sara hidup pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pihak pertubuhan bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan mereka pada masa akan datang.-EDISI UKAS