Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat Jadi Platform Dekati Rakyat, Sampaikan Inisiatif Kerajaan
SEMATAN: Penganjuran Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat menjadi inisiatif strategik untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif serta pembangunan Kerajaan Sarawak secara terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, program ini bukan sekadar siri jelajah, tetapi menjadi platform untuk turun padang bertemu masyarakat, mendengar sendiri pandangan mereka serta berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Melalui pendekatan ini, UKAS dapat memainkan peranan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat dengan menyampaikan maklumat yang tepat, telus dan sahih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perlepasan Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat di Kilometer 0 Telok Melano Sematan, pada Isnin.
Menurut beliau, selain menyampaikan maklumat berkaitan pembangunan negeri, program tersebut juga memberi peluang kepada pasukan UKAS untuk mendapatkan maklum balas masyarakat mengenai impak pelbagai inisiatif kerajaan khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kita juga ingin melihat sendiri kesan pembangunan yang telah dilaksanakan, termasuk jaringan jalan raya, jambatan serta kemudahan lain yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di kawasan pesisir Sarawak,” tambahnya.
Terdahulu Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol telah menyempurnakan perlepasan Kembara UKAS 2026 tersebut.
Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat yang bermula dari Telok Melano hingga ke Lawas itu melibatkan jarak perjalanan 1,750 kilometer dan 27 daerah di seluruh Sarawak.
Hadir sama pada majlis perlepasan tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Abang Draup, Timbalan Ketua Polis Daerah Lundu DSP Mordani Tanin, Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Lundu, Monalissa Mariah Brain, Pegawai Tadbir Sarawak, Pejabat Daerah Kecil Sematan, Mohd. Ameerullah Roslan, Pegawai-pegawai kanan UKAS, Ketua-ketua masyarakat serta tetamu jemputan yang lain.- EDISI UKAS