Projek Pembangunan Pacu Ekonomi Dan Kemajuan Saratok
SARATOK: Beberapa projek pembangunan melibatkan infrastruktur jalan raya dan kemudahan awam sedang dan akan dilaksanakan bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat di kawasan Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohammad Duri berkata, antara projek yang dirancang ialah pembinaan jalan raya dari Sungai Renit ke Sungai Awik dengan kos sebanyak RM15 juta.
“Projek ini dijangka mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat khususnya dalam sektor pertanian dan kebun,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada Ahad.
Selain itu, menurut Mohammad, projek pembangunan Waterfront Saratok dengan peruntukan RM91.2 juta juga dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi serta berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu kemudahan kesihatan di Saratok yang ketika ini berdepan masalah kesesakan di hospital akibat kekurangan klinik kesihatan di kawasan sekitar menyebabkan pesakit luar terpaksa bertumpu di hospital bagi mendapatkan rawatan.
Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan klinik kesihatan tambahan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Tambah beliau, cadangan pembinaan Surau IPD Saratok juga akan diusulkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 dan perkara tersebut dijangka dibincangkan secara lanjut pada Mei tahun ini.
Dalam majlis sama, Mohammad turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Saratok serta RM10,000 kepada Tabung IPD Saratok.
Di samping itu, beliau bersama ADUN Krian, Friday Belik turut menyampaikan sumbangan kepada pesara polis serta sumbangan Hari Raya kepada pelajar tahfiz sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada golongan berkenaan.-EDISI UKAS