Pertandingan Pickleball Meradong Semarak Sambutan Hari Wanita 2026
BINTANGOR: Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 di Meradong disemarakkan dengan penganjuran Pertandingan Pickleball yang menghimpunkan pemain serta komuniti setempat dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kebersamaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, majlis tersebut amat bermakna kerana selain menjadi platform aktiviti sukan, ia turut menjadi ruang untuk bersama-sama meraikan Sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8 Mac.
Menurut beliau, sambutan itu merupakan tanda pengiktirafan terhadap peranan, sumbangan dan pengorbanan wanita dalam keluarga, masyarakat serta pembangunan negara.
“Penganjuran pertandingan seperti ini amat bertepatan dengan semangat Hari Wanita kerana ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkasa wanita melalui peningkatan keyakinan diri serta semangat kerjasama berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Pickleball sempena Sambutan Hari Wanita 2026 anjuran Kelab Pickleball Meradong dengan kerjasama Klan Lee Meradong di sini, pada Ahad.
Datuk Ding turut melahirkan rasa gembira melihat penglibatan aktif para wanita serta sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam menjayakan pertandingan tersebut.
Menurutnya, keadaan itu membuktikan wanita masa kini bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya dan keluarga, malah turut aktif dalam bidang sukan serta kepimpinan masyarakat.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai wanita serta golongan belia menyertai aktiviti sukan secara aktif.
Pada majlis sama, Datuk Ding turut mengumumkan penyaluran geran khas berjumlah RM5,000 masing-masing kepada Kelab Pickleball Meradong dan Persatuan Lee Meradong bagi menyokong penganjuran serta pelaksanaan aktiviti tahunan pada tahun 2026.
Sementara itu, dalam majlis penutupan pertandingan, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato' Sri Huang Tiong Sii turut mengumumkan penyaluran geran khas sebanyak RM3,000 kepada Kelab Pickelball Meradong bagi menyokong aktiviti tahunan berkaitan pada tahun ini.
Bagi keputusan pertandingan, pasukan Benny High Five MPC muncul sebagai johan, diikuti pasukan Labubu Labu Labi RPC di tempat kedua, manakala pasukan Team BPC dan Island Club masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.-EDISI UKAS