Jejak Sarawakiana Buka Peluang Ekonomi Melalui Kraftangan Tradisional
KANOWIT: Penganjuran Program Jejak Sarawakiana 2026 bukan sahaja memperkenalkan khazanah warisan budaya Sarawak, malah membuka ruang ekonomi kepada komuniti setempat menerusi penghasilan kraftangan tradisional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, kemahiran yang dipelajari melalui program seumpama itu boleh dimanfaatkan oleh masyarakat sebagai sumber pendapatan tambahan serta menjadi asas untuk memulakan perniagaan kecil berasaskan produk kraftangan.
“Inisiatif seperti ini mampu menggalakkan masyarakat untuk terus memelihara dan mengembangkan kemahiran kraftangan tradisional sebagai sumber ekonomi, sekali gus memperkasa potensi industri seni dan budaya dalam komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penangguhan program tersebut yang berlangsung di Rumah Nala Ugap, Nanga Kabah Ulu Kanowit, pada Ahad.
Program yang berlangsung dari 7 hingga 8 Mac itu dianjurkan oleh Bahagian Sarawakiana, Pustaka Negeri Sarawak Sibu dan menghimpunkan kira-kira 80 peserta yang terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan warisan, budaya serta sejarah Sarawak.
Anyi berharap daripada kira-kira 80 peserta yang menyertai program berkenaan, sekurang-kurangnya 10 orang mampu mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh bagi memulakan perusahaan sendiri.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan masyarakat setempat mendapatkan bimbingan serta sokongan daripada agensi berkaitan seperti Pustaka Negeri Sarawak, serta memohon bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bagi memperkembangkan aktiviti berkaitan seni dan budaya di kawasan masing-masing.
Beliau menmabah, pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program berlangsung termasuk pameran Sarawakiana, bengkel kraftangan seperti Sugu Tinggi, Sulam Selampai, Baju Ujan Manik dan Baju Kuas, serta ceramah berkaitan warisan budaya Sarawak.
Menurutnya, aktiviti berkenaan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mempelajari kemahiran kraftangan tradisional di samping memperkukuh pemahaman terhadap nilai warisan budaya negeri ini.
Dalam majlis sama, beliau turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM3,000 untuk pembangunan pendidikan Rumah Nala serta RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Nala bagi menyokong usaha pembangunan komuniti setempat.-EDISI UKAS