Projek SMFC Opar Pacu Transformasi Sektor Agro Berteknologi Tinggi Sarawak
LUNDU: Projek Sarawak Metropolitan Food Cluster (SMFC) di Stungkor, Lundu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada transformasi sektor pertanian moden di Sarawak melalui penerapan teknologi tinggi bagi meningkatkan pengeluaran makanan bernilai tinggi serta memperkukuh rantaian industri makanan negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek SMFC Opar merupakan inisiatif strategik kerajaan Sarawak untuk memodenkan sektor pertanian dengan mengaplikasikan teknologi pertanian terkini bagi meningkatkan produktiviti serta memperkukuh rantaian bekalan makanan daripada peringkat pengeluaran sehingga ke pasaran.
"Projek ini akan memanfaatkan teknologi moden yang diadaptasi daripada negara Belanda bagi menghasilkan produk makanan bernilai tinggi serta menghubungkan pengeluaran tempatan dengan pasaran global.
"Selain itu, projek ini juga bertujuan menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor agro-bisnes yang lebih moden, berteknologi dan berdaya saing," katanya semasa Lawatan Tapak Projek Sarawak Metropolitan Food Cluster (SMFC) di tapak projek SMFC Stungkor, di sini, pada Isnin.
Projek yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 84 hektar ini dijangka menjadi antara projek pembangunan agro bersepadu yang penting di Sarawak serta berpotensi menjadi model kepada pembangunan sektor pertanian masa hadapan.
Antara pembangunan infrastruktur utama yang dirancang dalam projek ini termasuk Consolidation Centre, Beverage Processing Plant, Animal Feed Processing Plant, Greenhouse, Greenhouse Service Centre serta Experience Centre yang merangkumi Event Hall, Retail Centre dan Office Area bagi menyokong keseluruhan ekosistem industri makanan bersepadu di kawasan tersebut.
Selain meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan negeri, projek SMFC Opar juga dijangka membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat melalui pewujudan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta penglibatan usahawan tempatan dalam sektor agro moden.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada kepimpinan kerajaan dan agensi berkaitan untuk meninjau perkembangan semasa projek serta menyelaras usaha bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar demi manfaat pembangunan ekonomi kawasan Opar dan Lundu secara keseluruhannya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang serta Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Sirai Daha bersama pegawai-pegawai agensi berkaitan. -EDISI UKAS