Persatuan Klan Perkukuh Perpaduan Komuniti, Sokong Pembangunan Sosial
MIRI: Persatuan klan terus memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan kekeluargaan, memelihara warisan budaya serta menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat Cina di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata kewujudan persatuan klan bukan sahaja menjadi platform merapatkan hubungan sesama ahli keluarga dan keturunan, malah turut berperanan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, selama ini banyak persatuan klan aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk program kebajikan dan kegiatan komuniti yang memberi sumbangan positif kepada pembangunan sosial setempat.
“Persatuan klan bukan sekadar organisasi sosial, tetapi juga institusi penting yang membantu memelihara nilai tradisi serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Jamuan Tahun Baharu Cina serta upacara pelantikan jawatankuasa baharu Miri Ying-Yong Cheng’s Clan Association yang berlangsung di Imperial Hotel Miri, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan jawatankuasa baharu yang dilantik dan menyatakan keyakinan bahawa dengan kepimpinan tersebut, persatuan berkenaan akan terus berkembang serta memainkan peranan penting dalam menyatupadukan ahli dan berkhidmat kepada masyarakat.
Tambah beliau, keharmonian dan kestabilan yang dinikmati di Sarawak hari ini adalah hasil daripada sikap saling menghormati dan memahami antara pelbagai kaum yang telah lama menjadi asas kekuatan negeri ini.
Menurutnya, masyarakat Cina juga telah lama memberi sumbangan besar dalam bidang pendidikan, perniagaan serta khidmat masyarakat, sekali gus membantu memacu pembangunan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan generasi muda masyarakat Cina supaya terus berusaha dalam bidang pendidikan, meningkatkan kemahiran diri serta mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan negara khususnya di Sarawak.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan lebih ramai golongan muda menyertai perkhidmatan awam bagi menyumbang kepakaran dan tenaga kepada pembangunan negeri.
Berucap lanjut, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan inisiatif pendidikan tinggi percuma bermula 2026 di beberapa institusi pengajian tinggi milik negeri termasuk Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak (UTS) dan i-CATS University College.
Katanya, inisiatif tersebut bertujuan memberi peluang lebih luas kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian tanpa dibebani kos yuran pengajian, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan negeri.
Majlis tersebut turut dihadiri ahli-ahli persatuan serta tetamu jemputan yang memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Miri Ying-Yong Cheng’s Clan Association.-EDISI UKAS