Pekebun Kecil Sawit digesa Manfaatkan Bantuan MPOB
TATAU: Pekebun kecil kelapa sawit di kawasan Parlimen Selangau digalakkan agar memohon bantuan yang disediakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi meningkatkan produktiviti kebun masing-masing.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, semakan mendapati setakat ini tiada permohonan diterima daripada penduduk di Parlimen Selangau berkaitan bantuan tanam semula dan input pertanian bagi tempoh 2024 hingga 2025.
“Justeru, saya menggalakkan pekebun kecil sawit di kawasan Selangau supaya tampil memohon bantuan yang disediakan kerajaan melalui pejabat MPOB terdekat seperti di Bintulu, Sibu atau Mukah bagi meningkatkan produktiviti kebun masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa majlis perasmian jalan di hadapan Rumah Panjang Rh. Danggat Nuing di Sungai Kana, Anap pada Ahad.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai dan turut dihadiri isteri beliau, Datin Sri Melia Gelen.
Tambah Edwin, antara bantuan yang disediakan termasuk Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) yang menawarkan diskaun sebanyak RM1,000 bagi pembelian mesin cantas, serta Dana Insentif Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang membiayai sepenuhnya aktiviti pensijilan MSPO termasuk kos pengauditan.
Selain itu, beliau turut menyarankan pekebun kecil agar memohon bantuan pembinaan jalan kebun melalui MPOB bagi memudahkan pengangkutan hasil kelapa sawit dari kebun ke pusat pengumpulan.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang@Endawie, Pemanca Daerah Tatau, Pemanca Gerosen Jubin, serta penduduk rumah panjang sekitar kawasan berkenaan.-EDISI UKAS