CHINA: Kelab Perahu Naga Kuching (KDB) mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia apabila muncul juara kategori ‘International Friends Division’ pada Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Nanchang 2026 yang berlangsung di Wilayah Jiangxi, China pada 13 hingga 14 Jun.
Kejayaan pasukan dari Kuching itu dicapai selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan yang menghimpunkan penyertaan dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia, Belarus, Itali, Kazakhstan, Jerman dan Filipina.
Kemenangan tersebut menyaksikan KDB membawa pulang pingat emas, trofi kejuaraan serta hadiah wang tunai RMB10,000 sekali gus membuktikan kemampuan atlet Sarawak untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Ditubuhkan pada 2017, KDB merupakan sebuah kelab perahu naga berasaskan komuniti yang aktif mempromosikan sukan berkenaan menerusi penyertaan dalam pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara.
Bagi menghadapi kejohanan di Nanchang, ahli pasukan menjalani latihan intensif selama sebulan sebagai persediaan menghadapi saingan daripada pasukan-pasukan berpengalaman dari seluruh dunia.
Menurut pasukan tersebut, kejayaan yang diraih di China amat bermakna memandangkan negara itu merupakan antara tempat asal kelahiran budaya perahu naga yang mempunyai sejarah panjang dan nilai tradisi tersendiri.
Selain mencatat kejayaan dalam arena sukan, KDB turut mengambil peluang memperkenalkan warisan budaya Sarawak kepada masyarakat antarabangsa apabila menyampaikan cenderamata berupa alat muzik tradisional sape kepada pihak penganjur semasa majlis pertukaran budaya dan penyampaian hadiah.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen pasukan bukan sahaja dalam memartabatkan sukan perahu naga, malah memperkenalkan identiti dan keunikan budaya Sarawak di pentas antarabangsa.
Kejayaan tersebut dilihat mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia Sarawak untuk melibatkan diri dalam sukan perahu naga, selain memperkukuh hubungan persahabatan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan China. - EDISI UKAS