Kesedaran Derma Organ Semakin Meningkat, Sokongan Keluarga Penting
SIBU: Tahap kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ semakin meningkat, sekali gus mencerminkan perubahan positif dalam penerimaan masyarakat terhadap amalan yang mampu menyelamatkan nyawa itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, semakin ramai individu kini tampil mendaftarkan diri sebagai penderma organ berbanding sebelum ini.
“Pada saya, pendermaan organ merupakan satu perkara yang amat penting. Apabila seseorang meninggal dunia, dengan keizinan pasangan dan ahli keluarga terdekat, organ yang masih berfungsi boleh didermakan kepada mereka yang memerlukannya.
“Ia merupakan satu cara untuk meneruskan kasih sayang dan membantu memberi harapan baharu kepada insan lain walaupun selepas kita tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026 anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu di Hotel Kingwood pada Ahad.
Chieng berkata, beliau sendiri pernah mendaftarkan diri sebagai penderma organ pada tahun 2000 di Yayasan Buah Pinggang Sibu ketika proses pendaftaran masih dilakukan secara manual.
Bagaimanapun, rekod berkenaan hilang dan beliau berjaya mendaftar semula pada tahun 2023 ketika menghadiri program sempena Hari Penderma Darah Sedunia.
Sehubungan itu katanya, program kesedaran berkaitan pendermaan organ perlu diteruskan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat, terutama dalam kalangan ahli keluarga yang memainkan peranan penting dalam proses pendermaan organ.
Dalam perkembangan sama, Chieng turut menggalakkan masyarakat terus menyokong kempen pendermaan darah kerana Hospital Sibu memerlukan bekalan darah yang tinggi setiap tahun sebagai hospital rujukan utama bagi wilayah tengah Sarawak.-EDISI UKAS