BINTULU: Perayaan Do Ledoh bukan sekadar simbol kesyukuran masyarakat Kayan, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan komuniti serta mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran dan peluang ekonomi masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Presiden Persatuan Kayan Sarawak (PKS), Dato Dennis Ngau berkata perayaan tahunan tersebut berperanan menyatukan masyarakat Kayan dari pelbagai kawasan di Sarawak selain menjadi wadah memperkukuh identiti, semangat kekitaan dan hubungan persaudaraan dalam kalangan komuniti berkenaan.
Menurut beliau, perpaduan yang kukuh amat penting bagi memastikan masyarakat Kayan terus bergerak seiring dengan arus pembangunan negeri serta mampu memanfaatkan peluang yang diwujudkan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perayaan Do Ledoh Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Bintulu 2026, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu Do Ledoh turut berperanan sebagai platform memelihara warisan budaya masyarakat Kayan termasuk bahasa, muzik tradisional, tarian, pakaian dan adat resam agar terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Katanya, pemeliharaan warisan budaya perlu bergerak seiring dengan pembangunan supaya identiti masyarakat Kayan terus kekal relevan dan dihargai dalam era moden.
Dalam perkembangan lain, Dato Dennis berkata pendidikan perlu terus diberi keutamaan bagi melahirkan lebih ramai profesional dan usahawan dalam kalangan masyarakat Kayan, khususnya dalam bidang berasaskan teknologi dan ekonomi digital.
Katanya, generasi muda perlu merebut peluang dalam sektor strategik seperti teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan dan keusahawanan agar mampu bersaing dalam landskap ekonomi yang semakin berkembang.
“Komuniti Kayan perlu bersedia menghadapi perubahan dan mengambil peluang daripada pembangunan yang sedang berlaku di Sarawak. Pendidikan dan kemahiran adalah kunci untuk memastikan masyarakat kita terus maju dan berdaya saing,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng serta Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti. -EDISI UKAS