300 Peserta Sertai ‘Silent Run 5.0’ Tanda Sokongan Kepada Komuniti Pekak
SIBU: Program ‘Silent Run 5.0’ peringkat Sibu anjuran Persatuan Sukan Pekak Sarawak berjaya menarik kira-kira 300 peserta sebagai tanda sokongan terhadap komuniti pekak dan kurang pendengaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata kejayaan penganjuran program tersebut membuktikan bahawa kekurangan upaya tidak bermakna seseorang itu tidak berkeupayaan.
“Kejayaan ‘Silent Run 5.0’ membawa mesej yang jelas bahawa kekurangan upaya tidak bermakna seseorang itu tidak berkeupayaan.
“Kehilangan pendengaran bukan penghalang untuk memimpin, bekerjasama dalam pasukan atau mencapai kejayaan.
“Komuniti pekak bukan sekadar golongan yang memerlukan sokongan, malah mereka juga mampu menjadi pemimpin, penganjur acara, penyumbang kepada masyarakat dan contoh teladan yang memberi impak positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ‘Silent Run 5.0’ di Dataran Tun Tuanku Bujang, pada Ahad.
Tambah beliau, nama ‘Silent Run’ sendiri membawa makna yang mendalam kerana kesunyian tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan atau batasan sebaliknya melambangkan kekuatan, ketabahan, fokus dan perpaduan.
Menurutnya, komunikasi juga tidak terhad kepada pertuturan semata-mata, tetapi boleh dilakukan melalui bahasa isyarat, ekspresi wajah, bahasa tubuh, kesabaran, kebaikan hati dan keikhlasan untuk saling memahami.
Sementara itu, beliau turut menyeru agar semangat inklusiviti diteruskan melangkaui aktiviti komuniti semata-mata.
“Apabila halangan dihapuskan, setiap individu berpeluang menyerlahkan potensi mereka.
“Apabila kefahaman dan sokongan diberikan, bakat serta keupayaan seseorang dapat berkembang. Jika kita bergerak dan berlari bersama sebagai satu komuniti, kita mampu membina masyarakat yang lebih kukuh dan bersatu,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Victor Hii, Pengarah Festival WAK Donald Tan, Pengerusi Persatuan Sukan Pekak Sarawak Ko Ming Liang, Kaunselor Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Rory Wong serta Kaunselor Amelia Tiu.-EDISI UKAS