BAU: Sambutan Gawai Serembu 2026 terus mengukuhkan peranannya sebagai platform memperkasa perpaduan masyarakat serta memelihara warisan budaya Bidayuh yang menjadi identiti penting Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sambutan Hari Gawai kini bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Dayak, malah menjadi medium yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana penuh harmoni dan muhibah.
Menurut beliau, konsep tuaian yang menjadi teras sambutan Gawai perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas merangkumi kejayaan dalam bidang pendidikan, ekonomi, kerjaya dan pembangunan diri.
“Konsep tuaian dalam Gawai bukan hanya merujuk kepada hasil pertanian, tetapi turut merangkumi kejayaan dalam pendidikan, ekonomi, kerjaya dan pembangunan diri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gawai Serembu 2026 di Pusat Komuniti dan Kebudayaan Serembu, pada Sabtu.
Beliau turut memuji pembangunan Pusat Komuniti dan Kebudayaan Serembu yang berkonsepkan seni bina Baruk sebagai simbol kebanggaan masyarakat setempat serta platform memelihara identiti budaya untuk generasi akan datang.
Katanya, kemudahan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi penganjuran program kebudayaan dan kemasyarakatan, malah menjadi pusat penyatuan komuniti dalam usaha memperkukuh warisan budaya tempatan.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat agar terus memanfaatkan peluang pembangunan yang disediakan kerajaan serta memberi penekanan terhadap pendidikan, integriti dan disiplin dalam melahirkan generasi yang berdaya saing.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh menzahirkan penghargaan atas sokongan padu masyarakat terhadap penganjuran Gawai Serembu yang terus mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.
Menurut beliau, walaupun masyarakat Bidayuh terdiri daripada pelbagai subetnik seperti Jagoi, Singai, Biatah, Krokong dan Serian yang mempunyai keunikan bahasa serta budaya tersendiri, semangat perpaduan yang dipamerkan sepanjang sambutan tersebut membuktikan kekuatan masyarakat Bidayuh sebagai satu komuniti besar.
Beliau berkata, kewujudan Pusat Komuniti dan Kebudayaan Serembu kini menjadi identiti baharu kawasan tersebut dan berpotensi berkembang sebagai pusat rujukan kebudayaan serta lokasi penganjuran pelbagai program pembangunan komuniti pada masa hadapan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Datuk Peter Nyomek, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A. Rahman, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping serta Presiden Perasatun Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datuk Ik Pahon Joyik. -EDISI UKAS