Pembangunan luar bandar agenda utama kerajaan Sarawak
TATAU: Pembangunan kawasan di luar bandar terus menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak melalui penyediaan infrastruktur berkualiti, pengukuhan sektor ekonomi serta peluasan akses pendidikan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kerajaan negeri menyasarkan pendapatan isi rumah bagi setiap keluarga di Sarawak mencapai sekitar RM15,000 sebulan menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, sasaran tersebut memerlukan pelaksanaan pembangunan yang menyeluruh melibatkan kemudahan asas, pembangunan ekonomi serta peluang pendidikan yang lebih luas khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan Sarawak melalui dua agensi utama iaitu Mid Rajang Regional Development Agency (MiRRDA) dan Bintulu Rural Development Committee (BiRDCOM) akan terus mempergiat pembangunan infrastruktur dan ekonomi di kawasan ini termasuk projek menaik taraf jalan di kawasan DUN Kakus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jalan Depan Rumah Panjang Rh. Danggat Anak Nuing, Sungai Kana, Anap, Tatau di Rh. Danggat, Sungai Kana, Anap, di sini pada Ahad.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta serta Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang@Endawie.
Dalam pada itu, Dato Sri John Sikie turut menjelaskan bahawa pembangunan ekonomi luar bandar akan terus diperkasakan melalui beberapa inisiatif di bawah MiRRDA termasuk bantuan penanaman kelapa sawit, kopi serta projek penternakan khinzir bagi meningkatkan sumber pendapatan penduduk.
Pada masa sama, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang dilaksanakan di empat universiti milik kerajaan negeri.
Inisiatif tersebut, jelas beliau, bertujuan memastikan anak Sarawak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menyokong pembangunan negeri.
Terdahulu dalam ucapan aluan, Calvin menasihatkan penduduk supaya menggunakan sebaiknya peruntukan Projek Kecil Luar Bandar MRP yang disalurkan oleh wakil rakyat kawasan.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan tersebut tidak seharusnya diagihkan secara tunai kepada setiap pintu rumah, sebaliknya dimanfaatkan untuk pembangunan kemudahan rumah panjang yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti.
Majlis tersebut turut diisi dengan sesi taklimat oleh Pejabat Pendidikan Daerah Tatau Sebauh serta Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.
Program berkenaan dihadiri wakil pelbagai agensi termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Tatau Sebauh, Balai Bomba dan Penyelamat, IPD Tatau serta Sarawak Forestry Corporation (SFC), selain kehadiran kira-kira 60 orang Tuai Rumah dan sekitar 400 penduduk setempat.-EDISI UKAS