Sejambak Kasih Aidilfitri Santuni 1,086 Penerima di Miri
MIRI: Seramai 1,086 penerima bantuan kebajikan beragama Islam di Bahagian Miri layak menerima sumbangan sempena Aidilfitri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program Sejambak Kasih dianjurkan bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan, khususnya penerima bantuan kebajikan beragama Islam dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga bertujuan menceriakan penerima bantuan serta membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga yang kurang berkemampuan.
“Pada majlis yang diadakan hari ini, seramai 150 penerima dijemput hadir untuk menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang.
“Selain itu, 100 penerima lain akan menerima sumbangan yang sama pada Majlis Sejambak Kasih di Dewan Masyarakat Bekenu pada 14 Mac ini, manakala 836 penerima yang tidak dapat hadir akan menerima sumbangan tersebut melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Bahagian Miri 2026 yang diadakan di perkarangan Hotel Dynasty, di sini pada Isnin.
Seramai 15,454 penerima bantuan kebajikan di seluruh Sarawak akan menerima sumbangan Aidilfitri tahun ini melibatkan jumlah keseluruhan RM1,545,400.
Dalam majlis sama, pihak hotel berkenaan turut menyumbangkan hamper barangan makanan bernilai RM150 kepada setiap penerima yang hadir, menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM22,500.
Dato Sri Fatimah berkata kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam memastikan kebajikan masyarakat terus dipelihara, khususnya golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Dynasty Hotel Miri, Tony Pui berkata program pemberian sumbangan Aidilfitri tersebut telah menjadi acara tahunan hotel berkenaan sejak 26 tahun lalu, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri selama 24 tahun.
Beliau menambah bahawa pihak hotel akan terus memupuk semangat prihatin dan budaya memberi dalam kalangan kakitangannya serta berusaha membantu masyarakat yang memerlukan di Miri.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri Vivian Engkiong, serta ketua-ketua jabatan, kaunselor, penghulu dan ketua masyarakat.-EDISI UKAS