Projek Infra Tingkat Akses Perhubungan Di DUN Bukit Kota
LIMBANG: Pelaksanaan beberapa projek pembangunan jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota mampu meningkatkan akses perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar sekali gus merangsang perkembangan sektor ekonomi tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata usaha mempertingkatkan infrastruktur jalan raya di kawasan tersebut amat penting bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Menurut beliau, pelaksanaan projek Northern Coastal Highway (NCH) dijangka memberi impak positif kepada rakyat di daerah ini khususnya kepada penduduk Kampung Seberang Kedai dari segi kemudahan akses perhubungan jalan darat.
“Pelaksanaan projek ini akan membuka laluan perhubungan yang lebih baik dan efisien kepada penduduk setempat, sekali gus memudahkan pergerakan mereka bagi urusan harian, perniagaan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Badudun Ramadan Daerah Limbang 1447H/2026M yang diadakan di Surau Darul Ibadah, Kampung Seberang Kedai pada Ahad.
Tambah beliau, pembinaan lebuh raya yang menghubungkan CIQS Tedungan ke CIQS Pandaruan itu bakal menyediakan jaringan perhubungan jalan raya yang lebih baik, selesa dan selamat kepada warga Limbang termasuk penduduk di kawasan luar bandar.
Menurutnya lagi, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan dua buah jambatan di kawasan DUN Bukit Kota yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
“Pembinaan jambatan ini akan memudahkan pergerakan penduduk dari kawasan luar bandar untuk ke bandar Limbang tanpa perlu melalui feri atau laluan yang lebih jauh serta mengambil masa perjalanan yang lama,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa penambahbaikan rangkaian jalan raya bukan sahaja meningkatkan kemudahan mobiliti rakyat, malah berpotensi merancakkan perkembangan sektor ekonomi, pertanian dan pelancongan di daerah ini.
Katanya, dengan jaringan perhubungan yang lebih baik, penduduk luar bandar dapat memasarkan hasil pertanian mereka dengan lebih mudah selain membuka peluang kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi baharu di kawasan berkenaan.
“Pembangunan infrastruktur seperti ini merupakan antara usaha penting kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” ujarnya.
Selain projek tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa projek pembinaan jalan ke Kampung Bulantak dan Kampung Limpaku Pinang telah dikenal pasti dengan anggaran kos sekitar RM200 juta bagi meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan berkenaan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah melancarkan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, yang akan disalurkan secara berfasa mulai 10 Mac ini melibatkan kategori isi rumah, warga emas tanpa pasangan dan individu bujang.
Program anjuran Persatuan Melayu Limbang dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang (JPTIL) itu diisi dengan solat Isyak dan Tarawih berjemaah, tazkirah Ramadan, penyampaian sumbangan kepada penerima serta majlis moreh bersama penduduk setempat.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang merangkap Pengerusi JTPIL, Sulaiman Engal, wakil Pegawai Agama Islam Daerah Limbang, Ustaz Abdul Rahman Iqbal Adli, Penguasa Tanah Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang, Bakeri Samsudin, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang merangkap Pengerusi Surau Darul Ibadah Kampung Seberang Kedai, Mohamad Abu Bakar serta Ketua Kampung Seberang Kedai, Rosli Rambli.-EDISI UKAS