723 Penerima Bantuan di Sibu Terima Sumbangan 'Sejambak Kasih' Sempena Aidilfitri
SIBU: Seramai 723 penerima bantuan bulanan kebajikan beragama Islam di Bahagian Sibu bakal menerima sumbangan menerusi program ‘Sejambak Kasih’ sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, pemberian tersebut bertujuan membantu meringankan beban kewangan penerima dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
"Majlis Sejambak Kasih ini bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi telah berkembang menjadi satu tradisi murni kerajaan dalam menyantuni penerima bantuan kebajikan melalui sumbangan tunai dan barangan keperluan asas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Bahagian Sibu di Hotel RH, pada Isnin.
Datuk Mohammad Razi menambah, inisiatif ini mencerminkan dasar kerajaan yang sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan, selaras dengan semangat keharmonian perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu, penerima yang terlibat merangkumi mereka yang menetap di Daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.
“Bagi individu yang hadir pada majlis ini, mereka menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM100 berserta hamper yang bernilai RM80 seorang.
“Bagi penerima bantuan jabatan yang tidak hadir, sumbangan wang tunai RM100 tersebut akan disalurkan melalui pengkreditan terus ke akaun bank masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi statistik semasa di Bahagian Sibu bagi bulan Februari 2026, di mana seramai 5,670 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah mendapat manfaat daripada pelbagai skim bantuan dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan mencecah RM2,571,400.
Secara keseluruhan bagi tahun 2025, JKMS telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM299,791,550 untuk 57,073 orang penerima bantuan bulanan di seluruh negeri.
Hadir sama semasa majlis berkenaan ialah wakil Pegawai Daerah Sibu Sylvia Lau, Pemanca Sharifah Aini Alwi, Temenggung Stanley Geramong Bandar dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu Uwieng Gimos.-EDISI UKAS