Telok Melano Dari Kampung Terpencil Ke Gerbang Pan Borneo
SEMATAN: Dahulu penduduk Telok Melano terpaksa berjalan kaki berjam-jam atau menaiki bot untuk keluar dari kampung mereka, namun hari ini laluan Lebuh Raya Pan Borneo yang bermula di Kilometer 0 kawasan itu menjadi simbol perubahan besar hasil pembangunan infrastruktur yang dibawa Kerajaan Sarawak.
Terletak berhampiran sempadan negara jiran, Telok Melano yang terkenal dengan keindahan pantai putih dan persekitaran semula jadi yang masih terpelihara suatu ketika dahulu merupakan sebuah perkampungan nelayan kecil yang agak terpencil.
Namun di sebalik panorama indah itu, kawasan tersebut juga menyimpan 1001 kisah yang masih banyak belum disingkap.
Berkongsi kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan sepanjang hayat, Hasnah Mat, 82, mengimbau kesusahan yang mereka hadapi pada masa lalu menjadi lebih mencabar dengan ancaman pengganas komunis dan perompak dari Kalimantan.
“Saya tidak pernah melupakan apabila arwah suami pergi ke Sematan untuk membeli bekalan dan saya tinggal bersendirian bersama anak-anak.
"Pada malam itu saya telah menyediakan tujuh butir peluru dan bersedia menggunakan senapang patah sekiranya pengganas komunis datang mengganggu kami.
"Apa pun yang terjadi, saya mesti mempertahankan anak-anak kecil saya. Namun syukur kepada Tuhan, mereka tidak mengganggu kami,” ujarnya ketika ditemui Kembara UKAS di resort milik anaknya di sini, pada Ahad.
Selepas kejadian itu, lebih ramai anggota pasukan keselamatan ditempatkan di Telok Melano untuk mengekang ancaman komunis.
Hasnah menggambarkan jalan dari Telok Melano ke Sematan sebagai 'pintu peluang' yang banyak memudahkan kehidupan kira-kira 600 keluarga yang tinggal di hujung selatan Sarawak.
Ujarnya, beliau tidak pernah membayangkan berpeluang melihat jalan tersebut siap dibina jika bukan kerana usaha keras bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.
“Allahyarham pernah memberitahu kami bahawa jika Telok Melano tidak dimasukkan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo, maka lebih baik keseluruhan jalan itu tidak perlu dibina.
“Jadi, Kerajaan Persekutuan terpaksa memasukkan Telok Melano sebagai sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo,” katanya Ketika ditemui Kembara UKAS di resort milik anaknya di sini, pada Ahad.
Dengan siapnya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bermula dari Telok Melano pada tahun 2018, penduduk tempatan akhirnya dapat menarik nafas lega.
“Bayangkan, sepanjang hidup kami menanggung kesusahan tinggal di sini kerana bandar terdekat ialah Sematan, yang mengambil masa lapan jam berjalan kaki dari sini semasa musim landas,” katanya sambil menambah bahawa alternatif lain adalah menggunakan bot dari Sematan.
Sementara itu, pada masa kini, perjalanan dari Telok Melano ke Kuching dan menggunakan perkhidmatan Feri Rambungan menghamparkan pemandangan yang hijau dan indah di kedua-dua belah jalan dengan keadaan Lebuh Raya Pan Borneo yang begitu baik sebelum masuk ke persimpangan menuju pangkalan feri.
Di sepanjang perjalanan, sesekali terjumpa penduduk kampung yang berniaga di tepi jalan.
Sudah pasti, jualan lebih kepada hasil laut yang segar dan sering menjadi faktor tarikan pengunjung luar.
Bagi salah seorang penduduk Kampung Stoh, Asman Sebli, menjual hasil laut merupakan punca rezeki beliau.
Namun tidak dinafikan, beliau seperti penduduk lain mengimpikan sebuah tempat berniaga yang lebih selesa dan selamat jika dibandingkan berniaga di tepi jalan raya.
"Saya berniaga di tepi jalan bermula pada tahun 2003. Perniagaan memang memberansangkan terutamanya pada hujung minggu.
"Ramai orang luar yang berkunjung ke sini akan singgah untuk mendapatkan hasil laut segar seperti ketam, undang, ikan dan siput.
"Apa yang kita harapkan adalah kawasan ini (Kampung Stoh) dapat dibina satu tempat yang lebih selesa dan selamat untuk berniaga.
"Jika ada tempat yang lebih sesuai, saya rasa lebih banyak penduduk di sini akan berniaga," ujarnya.
Siapnya projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter yang terletak di laluan pertama Jalan Pesisir Sarawak nanti sudah pastinya dapat memberi impak besar kepada penduduk terutamanya komuniti berniaga seperti Asman.
Bukan hanya menyediakan jaringan jalan raya yang lebih baik, jambatan yang dijadualkan siap pada tahun 2026 itu mampu mengubah landskap sosioekonomi penduduk setempat.
Jika projek itu siap, tiada lagi keluh kesah pengunjung dari luar untuk bertandang ke kawasan Lundu yang memilih menggunakan perkhidmatan feri kerana jarak perjalanan yang lebih dekat jika dibandingkan menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo. -DEMI RAKYAT