Warga Kementerian Diseru Pelihara Kerahsiaan Maklumat Rasmi
KUCHING: Penjawat awam khususnya warga Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) diseru untuk terus memelihara integriti serta menjaga kerahsiaan maklumat rasmi dalam melaksanakan tugas.
Setiausaha Tetap MTCP, Morshidi Frederick berkata pematuhan terhadap Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) merupakan tanggungjawab penting bagi memastikan maklumat kerajaan tidak disalahgunakan atau dibocorkan.
Menurut beliau, setiap maklumat yang dikendalikan penjawat awam termasuk dasar kerajaan, dokumen kewangan, laporan siasatan dan minit mesyuarat merupakan amanah negara yang perlu dilindungi.
“Dalam era digital masa kini, maklumat boleh disebarkan dengan mudah melalui telefon pintar dan aplikasi komunikasi, justeru penjawat awam perlu lebih berhati-hati dalam mengurus maklumat rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Borang Perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Tambah beliau, kebocoran maklumat rasmi sama ada secara sengaja atau akibat kecuaian boleh dikenakan tindakan undang-undang serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam.
Majlis tersebut turut menyaksikan warga kementerian menandatangani borang perakuan sebagai simbol komitmen untuk memelihara kerahsiaan maklumat kerajaan serta mengukuhkan budaya integriti dalam organisasi.-EDISI UKAS