Program Agihan Bubur Erat Hubungan Masyarakat Kabong
KABONG: Sebanyak 1,400 bungkus bubur lambuk dan bubur kapur berjaya disediakan serta diedarkan kepada penduduk sekitar dalam Program Penyerahan Masakan Berasaskan Bubur sempena Ramadan 1447 Hijrah yang diadakan di Kabong Town Square, pada Ahad.
Program tersebut telah disempurnakan secara simbolik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha menyemarakkan semangat berkongsi rezeki serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Program berkenaan merupakan hasil kerjasama tiga buah persatuan iaitu SABERKAS Cawangan Kabong, Kumpulan Belia Nelayan Kabong (KUBENA) Kabong dan Usahawan Siswazah Kabong (USK Kabong) yang bergabung tenaga dalam menjayakan aktiviti kebajikan tersebut.
Melalui program ini, Dato Mohd Chee berharap agar aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan semangat perpaduan, kebersamaan serta meningkatkan lagi penghayatan bulan Ramadan dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS