Dato Mohd Chee bantu ringankan beban pesakit terlantar
KABONG: Prihatin dengan nasib pesakit terlantar hampir 10 tahun akibat serangan angin ahmar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir tampil menyumbang kerusi roda bagi membantu memudahkan pergerakan serta meringankan beban penjagaan ahli keluarga.
Sumbangan itu disampaikannya kepada pesakit itu semasa mengadakan ziarah kebajikan dengan menyantuni beberapa penduduk uzur di sekitar kawasan Kabong, pada Isnin.
Seterusnya, beliau bersama isteri, Datin Meryani Yassin serta rombongan turut menziarahi Siti Haja Suliman di Kampung Sungai Pala, Kabong yang kini memerlukan alat sokongan tongkat untuk bergerak setelah diserang penyakit strok.
Dalam kesempatan tersebut, beliau turut mendoakan agar kedua-dua pesakit diberikan kekuatan, kesabaran serta kesembuhan oleh Allah SWT, di samping dipermudahkan segala urusan ahli keluarga yang menjaga mereka.
Beliau juga berharap agar amalan ziarah dan sikap prihatin terhadap golongan yang memerlukan seperti ini dapat terus diperkasakan dalam masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.-EDISI UKAS