Perancis Teroka Potensi Kerjasama Strategik Bersama Sarawak
KUCHING: Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Sarawak bagi meneroka potensi pelaburan serta kerjasama strategik dalam beberapa sektor utama termasuk aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan penerbangan, minyak dan gas serta teknologi penangkapan karbon.
Beliau mengetuai delegasinya iaitu Atase Pertahanan, Stefan Stefancic, Timbalan Kaunselor Ekonomi, Bouthaina Harfi, Ketua Business France Jean-François Ambrosio serta Atase Kebudayaan, Thierry d’Anna.
Sepanjang lawatan itu, delegasi berkenaan mengadakan pertemuan bersama beberapa agensi dan pemegang taruh utama negeri bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai landskap pelaburan serta keutamaan pembangunan strategik Sarawak.
Perbincangan tertumpu kepada peranan Sarawak yang semakin berkembang sebagai destinasi pelaburan berteraskan kelestarian dan teknologi tinggi, didukung oleh sumber tenaga boleh diperbaharui yang kukuh, infrastruktur perindustrian yang komprehensif serta dasar mesra pelabur.
Delegasi tersebut memulakan lawatan di Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan telah disambut oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Husain bersama Pengurus Besar, Rakayah Bujang.
Mereka turut mengadakan sesi perbincangan bersama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang dihoskan oleh Pengerusi Tan Sri Hamid Bugo serta Naib Presiden Kanan, Dato Abang Arabi Abang Narudin, dengan fokus kepada peluang dalam sektor minyak dan gas termasuk aktiviti huluan, hiliran serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon.
Lawatan berkenaan diakhiri di InvestSarawak yang dihoskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Timothy Ong.
Dalam sesi tersebut, kerajaan Sarawak membentangkan agenda pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pengembangan ekonomi digital.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama baharu antara Sarawak dan Perancis dalam sektor berimpak tinggi.-EDISI UKAS