Majlis Berbuka Puasa MTCP Eratkan Silaturahim Antara Agensi Kerajaan
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian dan pelbagai agensi kerajaan sebagai usaha mengeratkan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara jabatan.
Majlis tersebut turut disertai wakil beberapa agensi antaranya Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak (UNIONS), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Terdahulu pada sebelah petang, turut diadakan Program Pengukuhan Integriti Sempena Bulan Ramadan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) 2026 yang dihadiri Setiausaha Tetap MTCP, Morshidi Frederik.
Program tersebut bertujuan memperkukuh nilai integriti dalam kalangan warga kementerian selain memupuk budaya kerja beretika serta berakauntabiliti selaras dengan usaha mempertingkat tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.
Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Puan Nancy Jolhi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Datu Salleh Askor.
Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Awang Ikman Awang Sepian, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak, Jason Tan Chin Foo serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kraf Sarawak, Suriya Charles Buas.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturahim sempena Ramadan, malah memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kementerian dan agensi berkaitan dalam memajukan sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan di Sarawak.-EDISI UKAS