Pendapatan Sarawak Semakin Kukuh, Hasil Dikongsi Melalui Pelbagai Inisiatif Bantuan
LIMBANG: Pendapatan Sarawak yang semakin kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan bagi meringankan kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak komited memastikan hasil negeri dapat dinikmati oleh rakyat melalui pelbagai bantuan, pembangunan infrastruktur, kemudahan asas serta perkhidmatan telekomunikasi yang telah, sedang dan akan terus dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan yang merangkumi keperluan rakyat dari lahir sehingga meninggal dunia.
“Antara bantuan yang disediakan termasuk bantuan kepada bayi yang baru lahir, bantuan kepada ibu yang melahirkan anak, bantuan pengebumian, bantuan kepada pesakit dialisis, bantuan perubatan kepada warga emas serta Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 Peringkat Bahagian Limbang pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa SKAS merupakan inisiatif yang diperkenalkan bermula tahun 2025 sebagai langkah intervensi langsung kerajaan negeri dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga barang.
Katanya, kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM480.2 juta bagi pelaksanaan SKAS yang bertujuan membantu rakyat melalui bantuan kewangan secara berkala bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat serta menyokong pembangunan modal insan di negeri ini.
Melalui pelaksanaan SKAS, jumlah bantuan turut dipertingkatkan kepada RM950 bagi kategori isi rumah berbanding RM800 sebelum ini, RM500 bagi warga emas tanpa pasangan berbanding RM400 tahun sebelumnya, manakala golongan bujang menerima RM300 berbanding RM250 sebelum ini yang akan disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang layak.
Di Bahagian Limbang bagi tahun 2026, seramai 21,730 penerima akan mendapat manfaat daripada inisiatif SKAS ini. Daripada jumlah tersebut, 11,745 penerima adalah dari Daerah Limbang yang merangkumi 4,729 kategori isi rumah, 2,556 warga emas dan 4,460 golongan bujang.
Manakala di Daerah Lawas, seramai 9,985 penerima turut menerima bantuan tersebut melibatkan 4,095 kategori isi rumah, 1,795 warga emas dan 4,095 golongan bujang.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Penguasa Tanah, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang, Bakeri Samsudin, Temenggong Leong Boong Ming serta Pemanca Sahat Bagol.-EDISI UKAS