Bazar Aidilfitri Satok Meriahkan Ramadan, Himpunkan 200 Peniaga
KUCHING: Bazar Aidilfitri Satok sekali lagi menjadi tumpuan masyarakat setempat apabila kembali dianjurkan bagi memeriahkan suasana Ramadan serta memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bazar yang dianjurkan oleh Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu menghimpunkan seramai 200 penjaja yang menawarkan pelbagai barangan seperti kuih-muih, biskut raya, kek lapis, pakaian raya serta pelbagai kelengkapan perayaan.
Majlis perasmian bazar tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada malam Isnin.
Pada majlis sama, turut diadakan penyalaan lampu hiasan di Jejantas Satok yang menambah lagi seri suasana Ramadan di kawasan berkenaan, sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung pada waktu malam.
Penganjuran bazar tersebut bukan sahaja memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri, malah membuka peluang kepada peniaga kecil dan penjaja mikro menjana pendapatan melalui platform perniagaan yang lebih tersusun dan kondusif.
Dalam pada itu, DBKU memastikan pengurusan bazar dilaksanakan secara sistematik bagi menjamin aspek keselamatan, kebersihan serta kelancaran operasi sepanjang tempoh penganjurannya demi keselesaan peniaga dan pengunjung.
Bagi menambah kemeriahan suasana perayaan, pemasangan lampu hiasan di Jejantas Satok melibatkan 77 unit arca lampu RGB serta 62 unit lampu wallwasher yang menghasilkan pencahayaan dinamik mengikut tema perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Hari Kebangsaan.
Secara keseluruhannya, DBKU telah meluluskan lima permit bazar Aidilfitri di kawasan pentadbirannya dengan penyertaan 358 peniaga pada tahun ini.-EDISI UKAS