102 Asnaf Kampung Binyuk Terima Sumbangan Ziarah Ramadan DUN Stakan
STAKAN: Seramai 102 golongan asnaf dari Kampung Binyuk Lama dan Skim Penempatan Semula Kampung Binyuk Baru menerima sumbangan menerusi Program Ziarah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan yang diadakan di Surau Darul Furqan, Skim Penempatan Semula Kampung Binyuk Baru, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan bagi menyantuni golongan memerlukan serta berkongsi rezeki bersama masyarakat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan diharap dapat membantu penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri di samping memberi kegembiraan kepada keluarga masing-masing dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.
“Alhamdulillah, pada petang ini seramai 102 penerima dari Kampung Binyuk Lama dan Skim Penempatan Semula Kampung Binyuk Baru dikenal pasti untuk menerima sumbangan melalui program Ziarah Ramadan yang kita laksanakan setiap tahun.
“Program ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi platform untuk kita mendekati masyarakat serta memahami keperluan mereka secara lebih dekat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program yang diadakan di Surau Darul Furqan itu merupakan lokasi terakhir bagi siri Program Ziarah Ramadan DUN Stakan bagi tahun 2026 selepas dilaksanakan di beberapa kawasan sebelum ini.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM30,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Furqan dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Falah bagi tujuan menaik taraf serta memastikan kemudahan rumah ibadah di kawasan tersebut terus berada dalam keadaan baik dan selesa digunakan oleh masyarakat setempat.
Program tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.-EDISI UKAS