161 Asnaf Sekitar Sebuyau Terima Sumbangan Program Santunan Ramadan
SEBUYAU: Seramai 161 penerima asnaf dari 12 kampung sekitar daerah Sebuyau menerima sumbangan menerusi Program Santunan Ramadan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar yang berlangsung di Masjid Al-Muflihin Sebuyau pada Isnin.
Sebelum majlis penyampaian sumbangan, program dimulakan dengan tazkirah Ramadan bagi mengingatkan para hadirin tentang kelebihan serta hikmah bulan Ramadan dalam memperkukuhkan keimanan dan semangat saling membantu sesama insan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Menurut beliau, program santunan seperti ini merupakan antara usaha berterusan pihak Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar dalam membantu meringankan beban golongan asnaf selain memastikan kebajikan masyarakat setempat sentiasa diberi perhatian.
“Melalui program ini, kita berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu para penerima membuat persiapan sepanjang Ramadan serta menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat agar tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan.
Program Santunan Ramadan tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat di samping menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan melalui amalan berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.
Majlis berbuka puasa tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Penghulu Kawasan Sebuyau, Penghulu Abu Suhaili Suhaili, Pengerusi Masjid Al-Muflihin Sebuyau, Narudin Morsidi serta penerima dan penduduk kampung setempat.-EDISI UKAS