Datuk Amar Awang Tengah Tinjau Kemajuan Projek Wisma Melayu Sarawak
KUCHING: Projek pembangunan Wisma Melayu Sarawak terus diberi perhatian bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut perancangan sekali gus menjadi pusat kegiatan penting masyarakat Melayu di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan lawatan khas ke tapak projek berkenaan bagi meninjau perkembangan semasa kerja-kerja pembinaan serta mendapatkan kemas kini mengenai pelaksanaannya.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak hadir dalam kapasiti sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).
Lawatan tersebut bertujuan memastikan setiap komponen pembangunan dilaksanakan mengikut jadual serta spesifikasi yang telah ditetapkan.
Dalam sesi lawatan itu, beliau turut menerima taklimat daripada pihak pengurusan projek berhubung kemajuan semasa pembinaan, skop kerja yang sedang dilaksanakan serta perancangan bagi fasa akhir projek.
Selain itu, beliau turut meneliti beberapa komponen utama pembangunan bagi memastikan kemudahan yang disediakan kelak mampu menyokong pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan, pendidikan dan program kemasyarakatan khususnya yang melibatkan masyarakat Melayu Sarawak.
Turut hadir dalam lawatan tersebut Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Mohd Naroden Majais dan Pengurus Besar AKYBMS, Sanib Said, selain pihak kontraktor, konsultan projek serta kakitangan AKYBMS.
Apabila siap kelak, Wisma Melayu Sarawak dijangka berfungsi sebagai pusat kegiatan komuniti serta wadah memperkukuh identiti, sejarah, seni dan budaya Melayu di Sarawak.
Pembangunan itu juga selari dengan aspirasi AKYBMS dalam memperkasa usaha pemeliharaan dan pengembangan warisan budaya Melayu Sarawak agar terus dihargai serta diwarisi oleh generasi masa kini dan akan datang.-EDISI UKAS