UCSI Sarawak Lancar CPUCE, Perluas Akses Pendidikan Tinggi Melalui Laluan APEL
KUCHING: UCSI University Kampus Sarawak mengambil langkah proaktif dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan negeri ini menerusi pelancaran Centre for Pre-University & Continuing Education (CPUCE) serta laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperluas akses kepada pendidikan tinggi khususnya kepada golongan bekerja melalui pengiktirafan pengalaman industri yang dimiliki.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif tersebut juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan bakat dan modal insan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Jelasnya lagi, usaha berkenaan amat penting ketika Sarawak bergerak ke arah ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan nilai tinggi yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran serta berdaya saing.
"APEL membuka laluan baharu kepada golongan pekerja berkemahiran yang memiliki pengalaman luas tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian.
"Pengiktirafan terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman membolehkan individu menukar pengalaman kerja kepada kelayakan akademik sekali gus meningkatkan peluang kemajuan kerjaya.
“Melalui APEL, pengalaman kerja boleh diterjemahkan kepada pengiktirafan akademik, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan pekerja untuk meningkatkan kelayakan dan mobiliti kerjaya mereka,” katanya semasa majlis pelancaran tersebut pada Selasa.
Dato Sri Roland Sagah menambah, inisiatif tersebut bertujuan memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan bekerja melalui pengiktirafan pengalaman industri.
Jelasnya, inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan bakat dan modal insan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi mampan, khususnya ketika negeri ini bergerak ke arah ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan nilai tinggi.
“Apabila kerajaan, universiti dan industri bergerak seiring, kita dapat mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih kukuh serta memastikan program pendidikan benar-benar selari dengan keperluan ekonomi,” ujarnya.
Sementara itu, Pro Naib Canselor UCSI University Kampus Sarawak, Mukvinder Sandhu berkata penubuhan CPUCE menyediakan laluan pendidikan yang lebih fleksibel dengan membolehkan pengalaman kerja dan kemahiran profesional diiktiraf sebagai kelayakan akademik melalui APEL.
Pengarah CPUCE, Irene Foo Ping Ping pula menyifatkan pusat tersebut turut membuka peluang kepada individu dan organisasi meneroka pendidikan dalam bidang perniagaan, pengurusan serta hospitaliti dan pelancongan.-EDISI UKAS