Majlis Berbuka Puasa Saberkas Telang Usan Eratkan Perpaduan Masyarakat
LONG LAMA: Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Bubur Lambuk anjuran SABERKAS Cawangan Telang Usan menyerlahkan semangat perpaduan masyarakat majmuk di kawasan Long Lama.
Majlis diadakan di Perkarangan Masjid Darussalam, Long Lama pada Isnin itu berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 200 penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.77 Telang Usan, Dato Dennis Ngau menzahirkan rasa syukur kerana berkesempatan menghadiri majlis tersebut walaupun dalam kesibukan tugas harian beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur kerana menganjurkan program yang bukan sahaja memberi makna kepada umat Islam sempena Ramadan, malah turut memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.
Menurut beliau, penganjuran program seperti ini membuktikan bahawa perpaduan masyarakat di daerah itu kekal utuh dan terpelihara walaupun berbeza agama dan kepercayaan.
“Di Long Lama, umat Islam merupakan golongan minoriti, namun setiap kali program seperti ini diadakan, kehadiran rakan-rakan bukan Islam amat memberangsangkan.
“Mereka juga banyak membantu dalam menyediakan segala persiapan majlis,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Orang Ulu National Association, Dato Abu Bakar Abdullah @ Tom Belarek serta Penolong Pegawai Daerah Telang Usan, Puan Nurhidayah Hasbollah.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut diserikan dengan kejutan sambutan hari lahir ke-58 buat Dennis apabila komuniti Telang Usan bersama pihak SABERKAS Cawangan Telang Usan mengadakan acara pemotongan kek sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan beliau.-EDISI UKAS