Sambutan TBC Persatuan Chawan Miri Perkukuh Perpaduan Komuniti
MIRI: Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Chawan Miri berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 770 tetamu di Imperial Hotel di sini pada Isnin sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli persatuan.
Majlis tersebut turut menyaksikan upacara angkat sumpah Jawatankuasa Baharu persatuan melibatkan barisan kepimpinan bagi sesi ke-48 Jawatankuasa Persatuan, ke-25 Jawatankuasa Pemuda, ke-19 Jawatankuasa Wanita serta ke-14 Jawatankuasa Warga Emas.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian yang juga Penasihat Kehormat Persatuan Chawan Miri.
Dalam ucapan yang dibacakan oleh Datuk Sebastian Ting, Datuk Amar Dr. Sim ucapan tahniah kepada Persatuan Chawan Miri yang telah mencapai usia penubuhan 77 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1949.
“Sepanjang 77 tahun yang lalu, di bawah kepimpinan pelbagai generasi jawatankuasa dan tokoh masyarakat, persatuan ini bukan sahaja berjaya menyatukan masyarakat perantau malah aktif memelihara serta memartabatkan budaya Cina,” katanya.
Menurut beliau, perjalanan lebih tujuh dekad itu merupakan pencapaian amat bermakna hasil usaha serta dedikasi generasi terdahulu yang telah membangunkan persatuan sehingga kekal kukuh dan relevan hingga hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan nilai menghargai jasa serta pengorbanan generasi terdahulu yang menjadi asas kepada kejayaan sesebuah organisasi masyarakat.
Datuk Amar Dr. Sim dalam ucapannya turut menyentuh inisiatif Persatuan Chawan Miri yang berjaya menubuhkan dana pendidikan bernilai RM1 juta pada tahun 2015.
Menurutnya, dana tersebut yang kini meningkat kepada kira-kira RM1.3 juta melalui pengurusan pelaburan bank telah memberi manfaat besar kepada generasi muda khususnya anak-anak ahli persatuan.
Katanya, faedah daripada dana berkenaan setiap tahun digunakan untuk menyediakan bantuan pendidikan serta anugerah kecemerlangan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi baik dalam bidang akademik dan sukan.
Selain itu, dana tersebut turut dimanfaatkan untuk membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan serta menyediakan insentif kepada bayi baharu dalam kalangan ahli sebagai galakan kepada generasi muda membina keluarga dan mengukuhkan komuniti.-EDISI UKAS