LIMBANG: Kerja pembersihan sisa tanah runtuh yang menjejaskan laluan di Jalan Buangsiol, Kampung Bukit Kota kini berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya sebelum laluan tersebut dibuka semula kepada orang awam pada Sabtu ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan operasi pembersihan sejurus selepas kejadian dan kini memasuki hari ketiga kerja memindahkan sisa runtuhan di kawasan terjejas.
Menurut beliau, kejadian tanah runtuh yang berlaku Sabtu lalu telah menembusi struktur jalan di kawasan tersebut sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk berhampiran.
“Bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin, tiga buah keluarga yang tinggal berhampiran kawasan runtuhan telah diarahkan berpindah sementara sehingga keadaan benar-benar selamat.
“Bagaimanapun, keadaan cuaca yang semakin baik selepas hujan berhenti sejak Sabtu lalu telah membantu menstabilkan struktur tanah dan membolehkan pihak JKR meneruskan kerja pembersihan serta pembaikpulihan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan susulan ke lokasi kejadian pada Selasa.
Beliau menjelaskan, antara kerja yang sedang dilaksanakan termasuk memindahkan tanah runtuh serta membentuk cerun di lereng bukit bagi mengukuhkan struktur tanah dan mengurangkan risiko kejadian berulang.
Tambah beliau, pihak JKR dijangka memulakan kerja menabur batu esok sebelum proses penurapan jalan dilaksanakan pada Khamis.
“Kerja penurapan dijangka mengambil masa sehari sebelum permukaan jalan dibiarkan stabil. Jika semuanya berjalan lancar, laluan ini dijangka boleh dibuka semula kepada pengguna jalan raya seawal Sabtu ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak JKR atas tindakan pantas dalam menangani insiden tersebut demi memastikan kelancaran pergerakan penduduk setempat.
Menurut beliau, kejadian berkenaan telah menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh melalui Sibukang Bypass atau Jalan Tujuh Batu Keliling.
“Penduduk di kawasan ini agak ramai dan ada yang menyuarakan kesulitan kerana terpaksa menggunakan laluan lebih jauh.
"Oleh itu kita amat menghargai usaha gigih pihak JKR yang bertungkus lumus menyiapkan kerja baik pulih ini dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penghuni tiga buah rumah yang diarahkan berpindah sebelum ini akan dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing selepas jalan tersebut dibuka dan keadaan disahkan selamat sepenuhnya.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise serta Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang, Louis Jonathan Philip.-EDISI UKAS