Penyaluran Geran MRP Perkukuh Peranan Organisasi Akar Umbi di Bukit Kota
LIMBANG: Penyaluran geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) oleh kerajaan Sarawak terus menjadi inisiatif penting dalam menyokong kelancaran pengurusan organisasi di peringkat akar umbi, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata agihan dana tersebut bertujuan memastikan setiap jawatankuasa mempunyai sokongan kewangan mencukupi bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan.
Menurut beliau, geran tersebut merupakan sumbangan kerajaan Sarawak yang disalurkan melalui wakil rakyat bagi membantu organisasi dan institusi berkaitan di kawasan masing-masing menjalankan peranan dengan lebih berkesan.
“Kerajaan amat menghargai kesungguhan anda semua yang sanggup menjaga kampung, masjid dan surau kawasan masing-masing.
"Jika bukan anda yang menguruskan, siapa lagi yang akan melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata geran tersebut diharapkan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima bagi merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat sepanjang tahun.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan geran kepada 62 JKKK, 10 masjid, 45 surau serta 29 surau dalam premis di kawasan DUN Bukit Kota dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM551,000.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa peranan JKKK amat penting kerana mereka berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Tambah beliau, hasil pendapatan negeri Sarawak akan terus dimanfaatkan bagi membangunkan pelbagai kemudahan asas demi kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya keperluan infrastruktur asas di Sarawak dapat dipenuhi sepenuhnya menjelang tahun 2030 selaras dengan perancangan pembangunan kerajaan negeri,” ujarnya.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Limbang Hadiana Simatzaman, Pemanca Sahat Bagol, Penghulu Ahmad Bini dan Penghulu Jamil Bakar.-EDISI UKAS