JTS Serian Salur Dana CSR RM70,000 Kepada Dua Kampung
SERIAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Serian meneruskan Program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dengan menyumbang dana berjumlah RM70,000 kepada komuniti setempat di Bahagian Serian.
Dana CSR ini disumbangkan oleh syarikat BE Borneo Quarry Sdn Bhd di mana Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli telah meluluskan bantuan sebanyak RM70,000 yang akan disalurkan kepada Kampung Tebakang Bidayuh dan Kampung Pichin.
Majlis penyerahan cek bagi sesi pertama tahun 2026 itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada di Pejabat Residen Bahagian Serian pada Selasa.
Berucap dalam majlis tersebut, Dr. Simon merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Serian atas keprihatinan mereka terhadap masyarakat kampung yang memerlukan bantuan.
"Saya berharap program seumpama ini dapat terus memberi manfaat kepada komuniti setempat serta mengeratkan hubungan dan persefahaman antara jabatan kerajaan, masyarakat dan pemain industri," katanya.
Program CSR ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bersama pemegang lesen atau tenemen mineral yang dikeluarkan oleh JTS bagi membantu komuniti bandar dan pinggir bandar yang terkesan secara langsung daripada aktiviti pemindahan bahan batuan atau perlombongan.
Pemilihan penerima dana dilaksanakan secara bergilir setiap tahun bagi memastikan kesamarataan serta liputan menyeluruh kepada komuniti yang terjejas akibat aktiviti industri.
Sebelum ini, program CSR yang sama turut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa syarikat industri lain seperti Pendu Quarry Sdn Bhd dan Magna Focus Sdn Bhd yang melibatkan beberapa kampung penerima termasuk Kampung Plaman Payang, Kampung Tanah Puteh, Kampung Sebamban, Kampung Prutan di Serian serta Kampung Endap di Kota Samarahan. -EDISI UKAS